Melihat Kuasa Allah | Sebuah catatan seorang Jurufoto

Kelantan bukan tanah tumpah darah saya. Saya tidak mempunyai darah daging di sana. Namun hati saya membuak-buak ingin membantu ketika berita mengatakan Kelantan banjir besar. Ketika bersolat hajat di UK Perdana pada 26 Disember 2014 selepas solat Jumaat, saya gagal menahan air mata sedangkan waktu itu hujan mencurah-curah di luar masjid. Manakala bumi Kelantan sedang dipenuhi dengan air bah. Langit sekitar Kuala Lumpur hingga ke Bangi gelap. Hujan turun 24 jam. Tahukah kita bahawa waktu itu penduduk yang terlibat sedang membawa anak-anak, isteri, ibu mereka ke tempat lebih selamat.
Saya tidak tahu di mana Manik Urai, saya tidak tahu bagaimana Tumpat, saya tidak dapat gambarkan bagaimana Kuala Krai, Gua Musang dan Jeli. Tapi saya dapat menggambarkan air bah sedang mengganas.
31 Disember 2014 saya mengambil keputusan mengikuti misi bantuan banjir anjuran UKM. Saya korbankan cuti. Saya menaiki kenderaan 4x4 bersama pasukan peninjau ke Tumpat Kelantan. Saya bercuti ke Kelantan. 31 Disember juga adalah hari lahir puteri bongsu. Saya hanya mampu menghantar mesej ringkas kepada anak bongsu itu.
1 Januari 2015 saya menyambut tahun baru di suasana yang menyayat hati. Saya melihat ibu menagih beras dari lori bantuan kemanusian UKM. Bapa meminta air bersih dari petugas kami. Sedangkan saya menghantar hadiah hari jadi isteri pada tarikh itu dengan sebuah kewajipan membantu mangsa banjir. Dua hari jadi anak dan isteri ketika melihat jiwa ibu dan ayah kehancuran perasaan dilanda banjir! Allah menguji mereka dan saya.....
Pagi 3 Januari 2015 saya tiba di Bangi dari Kelantan dan bersarapan pagi dengan nasi goreng sedangkan masih teringat keluhan seorang ayah dalam loghat Kelantan " Ni tengah dok fikir macam mana nak hidup...nak makan...nak sekolahkan anak yang masuk tingkatan 2 tahun ini....."

Saya sambung catatan ini hari ini...namun anda fikir-fikirkanlah apa yang mahu anda sumbang di surau, masjid dan lain-lain tempat agar mangsa-mangsa banjir akan terubat jiwa yang remuk.....

#Pesanan saya sediakan tisu jika ingin membaca catatan ini dan menatap gambar-gambar saya.....

CATATAN INI MERUPAKAN PANDANGAN PERIBADI DAN TIADA BERKAITAN DENGAN ORGANISASI KERJAYA SAYA

Isnin, 20 April 2015

Wajah seorang Guru Besar

Tuan Haji Che Azmi Mohd Nor merupakan Guru Besar SK Limau Kasturi. Beliau kelihatan seperti teruja dan terharu dengan kehadiran rombongan dari UKM. Orangnya pendiam namun memiliki pengalaman yang luas dalam dunia pendidikan di Kelantan.

Menurut tuan haji, beliau akan bersara setahu setengah lagi.Namun bayangkan ketika banjir melanda SK Limau Kasturi beliau terperangkap dengan hanya berkain  pelikat. Guru Besar ini dalam trauma ketika itu kerana bukan sekolahnya sahaja yang dilanda banjir tapi rumahnya di Kuala Krai turut ditimpa bencana banjir. Cikgu Che Azmi terputus hubungan dengan isteri dan anak-anak.

Inilah pengorbanan seorang guru dan seorang ayah serta suami. Kita mampu menerima cerita ini tapi kesan kepada mangsa masih terkesan hingga kini. 

Ketika berucap guru yang bersemangat waja ini tidak henti-henti bersyukur dengan rahmat Allah yang diberikan menerusi UKM....

Tiada ulasan:

Catat Ulasan