Pertemuan dengan insan-insan yang mulia

2 Januari 2015:

Perjalanan dari Kota Bahru setelah membeli barang tambahan di Pengkalan Kubor petugas seramai 20 orang telah berhenti di pinggir jalan bersempadan dengan daerah Tumpat untuk membungkus barangan tersebut agar mudah dibuat pengagihan kelak. Pengkalan Kubor tidak semeriah sebelum ini. Mungkin kerana hari ini Jumaat atau kesan bencana banjir masih dirasai oleh rakyat Kelantan khasnya dan rakyat Malaysia amnya.


Rezeki yang Allah tarik balik
Ketika menuju ke Kuala Krai perjalanan agak sesak kedua-dua arah. Oleh kerana konvoi kami dengan enam kereta pacuan empat roda dan sebuah lori dengan sarat muatan air dan lain-lain keperluan maka pergerakkan kami agak terbatas untuk berada dalam satu barisan. Kenderaan Bahagian Keselamatan UKM berada di hadapan yang diketuai oleh Leftenan Kolenal (B) Jury Saripan. Entah bagaimana kerana kuasa pecutan antara satu sama lain agak berbeza maka lori dan dua lagi jep 4x4 tertinggal jauh di belakang.

Ketika tiba Pekan Laloh Manik Urai hari hampir senja. Dua buah pacuan empat roda dan lori belum tiba. Kami berhenti betul-betul di hadapan sebuah bengkel kereta yang sudah musnah. Manakala deretan lain adalah kedai-kedai runcit dan lain-lain kedai yang memberikan kemudahan asas kepada penduduk setempat dan orang-orang yang lalu lalang di situ. Saya kira ramai yang balik ke Kelantan lebih arif dengan pekan kecil ini. Saya juga mengandaikan ramai antara anak-anak Kelantan sering singgah di sini ketika balik kampung. Laloh telah musnah wahai sahabatku......

Kemusnahan sebuah perniagaan di Kampung Laloh

Hari ini ketika dalam perjalanan pulang kami tiba di sini ketika matahari masih bersinar berbanding pada 31 Disember ketika tiba di Laloh malam gelap menyelimuti pekan ini tak ubah seperti dilanggar garuda. Rezeki kami begitu ditentukan oleh Allah. Mungkin berkat wang zakat dibawa oleh pegawai-pegawai UKM yang menjadikan usaha kami diberi keberkati.....

Sedang berbual dengan seorang wanita, muncul suaminya berasal dari India yang lepas itu kami diperkenalkan dengan nama Abang Ali. Orang di Laloh menyebut dia sebagai Ali Bangla. Tinggal di situ sejak tahun 1985 dengan mengusahakan sebuah bengkel kereta. Keramahan abang Ali mendekatkan kami dengan insan-insan malang di Laloh. Lori dan dua buah jeep telah selamat tiba biarpun ada sedikit kegusaran.
Abang Ali (kiri) bersama Haji Abd Razak Hussin
Ketua Misi Bantuan Banjir ke Tumpat.

Pandangan abang Ali diterima pakai dan kami membawa lori yang sarat dengan muatan masuk ke Kampung Laloh. Masyaallah di sana ada insan mulia lagi. Mereka rupa-rupanya anak kepada mangsa yang tinggal di Bandar Baru Bangi. Mereka balik ke Laloh untuk merasai derita ibu dan ayah. Seorang membuka bengkel kereta di Sekysen Tujuh, seorang lagi berniaga di Up Town Jalan reko. Manakala seorang lagi bekerja di Hitachi Bandar Baru Bangi. Mereka pada mulanya tidak memperkenalkan identiti berada di Bangi. Tapi ketika pertama kali melihat kami mereka tahu kami dari Bangi kerana ramai yang memakai baju tertera lambang UKM yang keramat. Benarlah kata pujangga, permata kalau berada di dalam lumpur pun tidak akan hilang seri dan nilainya!

Bayangkan bantuan diterima ketika malam
telah memberi salam......(UKM Pendaulat Amanah Bangsa)
Insan-insan inilah yang membantu kami mengagihkan kepada penduduk-penduduk di situ. Mereka menggunakan kenderaan 4x4 yang dimiliki untuk mengedar di kawasan hujung kampung. Semua barang bantuan dipindah dalam empat kali dan selesai kerja-kerja pengedaran pada jam 11.00 malam.

Kenapa harus kami menyerahkan sendiri biar pun hari sudah larut malam? Ini adalah barang-barang hasil sumbangan warga UKM. Kami bukan mencari nama. Kami hadir dengan niat untuk menyumbang tanpa tersirat apa jua niat. Sumbangan  dari wang zakat yang diamalkan oleh warga UKM menerusi potongan gaji telah sampai ke tangan yang sepatutnya. Wahai warga UKM anda insan tepilih kerana zakat anda telah sampai ke tangan insan malang di kampung dan ceruk yang terpencil.


Konsep agihan yang diamalkan ialah, Lembaga Zakat Selangor akan  pulangkan semula 50% kepada UKM dengan  pecahan 43.75% untuk agihan dan 6.25% utk upah pengurusan amil zakat

Saya fikir malam itu pastinya ada yang dapat tidur dengan tikar baru, selimut baru, kain pelikat dan kain batik baru. Anda telah menyelimuti tubuh gersang dalam kesejukan malam. Anda telah membenarkan seorang muslim bersoalat dengan sejadah dan kain pelikat baru. Doa mereka ketika solat pasti akan sampai kepada jiwa anda. Semua insan tidak mengenali anda, tetapi Allah Maha Mengetahui...


Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:”Sesungguhnya Allah telah memfardhukan zakat sebagai pembersihan terhadap harta.” Riwayat Bukhari

Malam ini (anda pembayar) ketika tidur, anda telah tidur bersama seorang ibu atau bapa yang sedang kenangan silam dan harapan masa depan. Anda sahaja yang menikmati rahmat disebalik menunaikan zakat!!

Pasukan petugas dari UKM bersama pemuda-pemuda (dari kanan no 3-5 ) di Kampung Laloh










Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Wajah seorang Guru Besar

Masih ada kemudahan yang diperlukan

Mereka bergelap