Melihat Kuasa Allah | Sebuah catatan seorang Jurufoto

Kelantan bukan tanah tumpah darah saya. Saya tidak mempunyai darah daging di sana. Namun hati saya membuak-buak ingin membantu ketika berita mengatakan Kelantan banjir besar. Ketika bersolat hajat di UK Perdana pada 26 Disember 2014 selepas solat Jumaat, saya gagal menahan air mata sedangkan waktu itu hujan mencurah-curah di luar masjid. Manakala bumi Kelantan sedang dipenuhi dengan air bah. Langit sekitar Kuala Lumpur hingga ke Bangi gelap. Hujan turun 24 jam. Tahukah kita bahawa waktu itu penduduk yang terlibat sedang membawa anak-anak, isteri, ibu mereka ke tempat lebih selamat.
Saya tidak tahu di mana Manik Urai, saya tidak tahu bagaimana Tumpat, saya tidak dapat gambarkan bagaimana Kuala Krai, Gua Musang dan Jeli. Tapi saya dapat menggambarkan air bah sedang mengganas.
31 Disember 2014 saya mengambil keputusan mengikuti misi bantuan banjir anjuran UKM. Saya korbankan cuti. Saya menaiki kenderaan 4x4 bersama pasukan peninjau ke Tumpat Kelantan. Saya bercuti ke Kelantan. 31 Disember juga adalah hari lahir puteri bongsu. Saya hanya mampu menghantar mesej ringkas kepada anak bongsu itu.
1 Januari 2015 saya menyambut tahun baru di suasana yang menyayat hati. Saya melihat ibu menagih beras dari lori bantuan kemanusian UKM. Bapa meminta air bersih dari petugas kami. Sedangkan saya menghantar hadiah hari jadi isteri pada tarikh itu dengan sebuah kewajipan membantu mangsa banjir. Dua hari jadi anak dan isteri ketika melihat jiwa ibu dan ayah kehancuran perasaan dilanda banjir! Allah menguji mereka dan saya.....
Pagi 3 Januari 2015 saya tiba di Bangi dari Kelantan dan bersarapan pagi dengan nasi goreng sedangkan masih teringat keluhan seorang ayah dalam loghat Kelantan " Ni tengah dok fikir macam mana nak hidup...nak makan...nak sekolahkan anak yang masuk tingkatan 2 tahun ini....."

Saya sambung catatan ini hari ini...namun anda fikir-fikirkanlah apa yang mahu anda sumbang di surau, masjid dan lain-lain tempat agar mangsa-mangsa banjir akan terubat jiwa yang remuk.....

#Pesanan saya sediakan tisu jika ingin membaca catatan ini dan menatap gambar-gambar saya.....

CATATAN INI MERUPAKAN PANDANGAN PERIBADI DAN TIADA BERKAITAN DENGAN ORGANISASI KERJAYA SAYA

Isnin, 20 April 2015

Air mata dan keringat guru

 Ketika tengahmalam di Panggung Seni UKM ramai antara orang telah dibuai mimpi di kamar tidur, saya bersama ahli sukarelawan UKM telah bergerak memasuki lebuhraya menuju ke Gua Musang Kelantan. Malam itu hujan lebat dan mengukirkan nostalgia banjir kuning di Kelantan. Sepanjang perjalanan ada yang tidur ada yang masih berbual sedangkan jam sudah tiga pagi.








Ketika Subuh kami selamat tiba di Gua Musang. Setelah selesai menunaikan tanggungjawab bas UKM bergerak masuk ke Sekolah Kebangsaan Limau Kasturi. Sekolah yang terkenal dalam drama Cikgu Limau Kasturi (lakonan Allahyarham Harun Salim Bacik). Drama yang mengangkatkan kerjaya seorang guru di sekolah pedalaman. 

Bas UKM tiba di perkarangan SK Limau Kasturi dengan sebuah lori yang membawa muatan buku, komputer dan rak-rak buku. Kami tidak disambut oleh Cikgu Halim (watak dalam drama ) Kerana ia hanyalah watak hayalan penulis.

Kami juga tidak disambut oleh Lebai Lazin kerana ia hanyalah lakonan dalam drama.
SK Limau Kasturi telah maju dan terkenal di senubari sukarelawan UKM. Masih ingatkah bau lumpur ketika anda datang membersih dua bulan lepas?

Tenaga kerja JPP UKM yang sering anda kenal ketika meminta membetulkan kunci atau apa saja di UKM telah memulakan kerja-kerja tanpa arahan mandur! Sdra Wahab dan rakan-rakannya meninggalkan nasi lemak dan roti canai Bangi. Akhirnya jam 7.00 malam kerja-kerja telah selesai.

Sambutan yang diberikan oleh warga SK Limau Kasturi begitu meriah. Rombongan TNC HEPA yang diketuai oleh Prof Datin Noor Aziah Mohd Awal telah disambut oleh paluan kompang dan gedang silat. Dua persembahan silat oleh warga kampung Limau Kasturi telah diadakan.

Tiada ulasan:

Catat Komen