Melihat Kuasa Allah | Sebuah catatan seorang Jurufoto

Kelantan bukan tanah tumpah darah saya. Saya tidak mempunyai darah daging di sana. Namun hati saya membuak-buak ingin membantu ketika berita mengatakan Kelantan banjir besar. Ketika bersolat hajat di UK Perdana pada 26 Disember 2014 selepas solat Jumaat, saya gagal menahan air mata sedangkan waktu itu hujan mencurah-curah di luar masjid. Manakala bumi Kelantan sedang dipenuhi dengan air bah. Langit sekitar Kuala Lumpur hingga ke Bangi gelap. Hujan turun 24 jam. Tahukah kita bahawa waktu itu penduduk yang terlibat sedang membawa anak-anak, isteri, ibu mereka ke tempat lebih selamat.
Saya tidak tahu di mana Manik Urai, saya tidak tahu bagaimana Tumpat, saya tidak dapat gambarkan bagaimana Kuala Krai, Gua Musang dan Jeli. Tapi saya dapat menggambarkan air bah sedang mengganas.
31 Disember 2014 saya mengambil keputusan mengikuti misi bantuan banjir anjuran UKM. Saya korbankan cuti. Saya menaiki kenderaan 4x4 bersama pasukan peninjau ke Tumpat Kelantan. Saya bercuti ke Kelantan. 31 Disember juga adalah hari lahir puteri bongsu. Saya hanya mampu menghantar mesej ringkas kepada anak bongsu itu.
1 Januari 2015 saya menyambut tahun baru di suasana yang menyayat hati. Saya melihat ibu menagih beras dari lori bantuan kemanusian UKM. Bapa meminta air bersih dari petugas kami. Sedangkan saya menghantar hadiah hari jadi isteri pada tarikh itu dengan sebuah kewajipan membantu mangsa banjir. Dua hari jadi anak dan isteri ketika melihat jiwa ibu dan ayah kehancuran perasaan dilanda banjir! Allah menguji mereka dan saya.....
Pagi 3 Januari 2015 saya tiba di Bangi dari Kelantan dan bersarapan pagi dengan nasi goreng sedangkan masih teringat keluhan seorang ayah dalam loghat Kelantan " Ni tengah dok fikir macam mana nak hidup...nak makan...nak sekolahkan anak yang masuk tingkatan 2 tahun ini....."

Saya sambung catatan ini hari ini...namun anda fikir-fikirkanlah apa yang mahu anda sumbang di surau, masjid dan lain-lain tempat agar mangsa-mangsa banjir akan terubat jiwa yang remuk.....

#Pesanan saya sediakan tisu jika ingin membaca catatan ini dan menatap gambar-gambar saya.....

CATATAN INI MERUPAKAN PANDANGAN PERIBADI DAN TIADA BERKAITAN DENGAN ORGANISASI KERJAYA SAYA

Ahad, 4 Januari 2015

Air mata Cikgu Masriza adalah bahasa sayu

1 Januari 2015 | 12 Tengahari:

 Misi bantuan banjir dari UKM tiba di sebuah rumah tepi parit  dari jalan kelihatan banyak kain baju, tilam dan bantal berwarna tanah sedang dijemur pada tembok rumah itu. Kami ke sini kerana beliau adalah salah seorang guru yang mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Tumpat.
Suami Cikgu Masriza menerima sumbangan daripada UKM


Kami ke sini kerana Sekolah Menengah Kebangsaan Tumpat. amat dekat dengan sejarah penubuhan UKM. Sekolah ini pernah menderma untuk penubuhan UKM. Suami Masriza menyambut kami dalam keadaan lumpur tersalut di baju dan badan beliau. Sebuah lori yang terdapat di luar rumah penuh dengan pakai yang telah rosak.
Kemusnahan yang terjadi

Seratus peratus peralatan dalam rumah cikgu Masriza disaluti lumpur. Oh....namun cikgu Masriza menyambut kami dengan senyuman seorang wanita. Kelembuatn wajah seorang wanita Kelantan jelas terpancar. Namun saya dapati air jernih tergenang di kelopak mata. Saya tahu beliau terharu dengan kehadiran kami. Katanya dia redha dengan dugaan ini. Kegentalan hatinya memang terpancar.
Halaman rumah yang dipenuhi tanah


Cikgu Masriza penah datang ke UKM ketika sambutan 44 tahun tahun lepas. Beliau hadir membawa rombongan pelajar sekolahnya.

Khazanah ilmu yang musnah

Apa yang masih ada? Kain baju yang masih elok disidai diampaian. Perabot yang rosak terdapat di sana sini. Tilam dan bantal pastinya tidak boleh diguna lagi......Cikgu Masriza dan suami berhenti membersih rumah kerana melayan tetamu. Sumbangan dari UKM telah disampaikan oleh pegawai misi. Sumbangan ini bukanlah boleh menyelesaikan semua masalah, namun ia mampu menyuntik semangat baru. Pegawai Unit Zakat UKM menyampaikan sumbangan kepada cikgu Masriza. Saya pasti cikgu Masriza akan berdoa kepada penyumbang zakat.
Halaman rumah

Sebagai rekod, Unit Zakat UKM menggunakan hasil sumbangan dari Lembaga Zakat Selangor. Konsep agihan yang diamalkan ialah, Lembaga Zakat Selangor akan  pulangkan semula 50% kepada UKM dengan  pecahan 43.75% untuk agihan dan 6.25% untuk upah pengurusan amil zakat.
Tanah yang masih tertinggal

Sebagai rekod, Unit Zakat UKM menggunakan hasil sumbangan dari Lembaga Zakat Selangor. Konsep agihan yang diamalkan ialah, Lembaga Zakat Selangor akan  pulangkan semula 50% kepada UKM dengan  pecahan 43.75% untuk agihan dan 6.25% untuk upah pengurusan amil zakat.
Haji Abd Razak Hussin melihat paras
air yang ditunjukan oleh Cikgu Masriza
Inilah dugaan Allah kepada keluarga cikgu Masriza. Kami berdoa kekuatan iman akan memberi ketabahan kepada mereka. Saya juga ingin berkongsi perasaan bahawa melihat sendiri kemusnahan ini mengambarkan kemusnahan mangsa-mangsa lain. Ia menjadi iktibar buat semua yang melihat dan membantu.

Halaman rumah
Kalau kita hadir bukanlah melihat pesta banjir tetapi hulurkan apa jua bantuan. Masa ini seringgit akan menjadi pahala anda dan menjadi semangat penyambung hidup kepada mangsa.Kalau saya ke Kelantan pastinya akan membawa keluarga menziarahi rumah cikgu Masriza....

Tiada ulasan:

Catat Ulasan