Melihat Kuasa Allah | Sebuah catatan seorang Jurufoto

Kelantan bukan tanah tumpah darah saya. Saya tidak mempunyai darah daging di sana. Namun hati saya membuak-buak ingin membantu ketika berita mengatakan Kelantan banjir besar. Ketika bersolat hajat di UK Perdana pada 26 Disember 2014 selepas solat Jumaat, saya gagal menahan air mata sedangkan waktu itu hujan mencurah-curah di luar masjid. Manakala bumi Kelantan sedang dipenuhi dengan air bah. Langit sekitar Kuala Lumpur hingga ke Bangi gelap. Hujan turun 24 jam. Tahukah kita bahawa waktu itu penduduk yang terlibat sedang membawa anak-anak, isteri, ibu mereka ke tempat lebih selamat.
Saya tidak tahu di mana Manik Urai, saya tidak tahu bagaimana Tumpat, saya tidak dapat gambarkan bagaimana Kuala Krai, Gua Musang dan Jeli. Tapi saya dapat menggambarkan air bah sedang mengganas.
31 Disember 2014 saya mengambil keputusan mengikuti misi bantuan banjir anjuran UKM. Saya korbankan cuti. Saya menaiki kenderaan 4x4 bersama pasukan peninjau ke Tumpat Kelantan. Saya bercuti ke Kelantan. 31 Disember juga adalah hari lahir puteri bongsu. Saya hanya mampu menghantar mesej ringkas kepada anak bongsu itu.
1 Januari 2015 saya menyambut tahun baru di suasana yang menyayat hati. Saya melihat ibu menagih beras dari lori bantuan kemanusian UKM. Bapa meminta air bersih dari petugas kami. Sedangkan saya menghantar hadiah hari jadi isteri pada tarikh itu dengan sebuah kewajipan membantu mangsa banjir. Dua hari jadi anak dan isteri ketika melihat jiwa ibu dan ayah kehancuran perasaan dilanda banjir! Allah menguji mereka dan saya.....
Pagi 3 Januari 2015 saya tiba di Bangi dari Kelantan dan bersarapan pagi dengan nasi goreng sedangkan masih teringat keluhan seorang ayah dalam loghat Kelantan " Ni tengah dok fikir macam mana nak hidup...nak makan...nak sekolahkan anak yang masuk tingkatan 2 tahun ini....."

Saya sambung catatan ini hari ini...namun anda fikir-fikirkanlah apa yang mahu anda sumbang di surau, masjid dan lain-lain tempat agar mangsa-mangsa banjir akan terubat jiwa yang remuk.....

#Pesanan saya sediakan tisu jika ingin membaca catatan ini dan menatap gambar-gambar saya.....

CATATAN INI MERUPAKAN PANDANGAN PERIBADI DAN TIADA BERKAITAN DENGAN ORGANISASI KERJAYA SAYA

Ahad, 4 Januari 2015

Misi bantuan banjir UKM

31 Disember 2014 | 10.00 pagi

Saya menyertai Misi Bantuan Banjir Kelantan anjuran UKM mulai 31 Disember 2014 hingga 2 Januari 2015. Enam kereta pacuan empat roda (4x4) dan sebuah lori bergerak ke Tumpat Kelantan dan tiba sekitar jam 2 pagi pada 1 Januari 2015 selepas semua orang menyambut tahun baru 2015.

 Ketika tiba di Kelantan menerusi Gua Musang hujan tiada lagi. Banjir telah surut sepenuhnya. Jalan dari Grik Jeli masih ditutup kepada semua kenderaan. Saya tidak dapat hendak membayangkan bagaimana suasana air bah. Yang dapat dibayangkan hanyalah menerusi siaran TV dan laman-laman media sosial.

Banjir memang tidak asing lagi buat rakyat Kelantan. Malahan ada anak menantu yang telah menyediakan bekalan buat keluarga sebelum musim tengkujuh. Kebanyakkan rumah mereka dibina agak tinggi.

Haji Zanuddin Daud salah seorang pegawai misi sering saya tanya dan kata beliau rumahnya di Kampung Ana Tumpat tidak pernah banjir sebab tinggi. Ada kalangan rakyat Kelantan memiliki sampan sendiri untuk menghadapi air bah. Tetapi kenapa kali ini ianya teruk?

Kemusnahan akibat banjir tahun 2014 begitu hebat. Semua orang berkata ia umpama Tsunami. Jika diperhatikan kesan selepas banjir memanglah menggerunkan. Amat sedih dan pilu bila mengenangkan ada yang musnah semua sekali. Cuma korban banjir tidak begitu tinggi mungkin mereka yang terlibat sudah bersedia untuk mengelak sebarang kecelakaan.

Ada tempat telah terputus bekalan
petrol dan diasel selama tiga hari
ketika banjir melanda Kelantan.
 Rakan Jurufoto saya Ikhwan Hashim sebelum banjir menjadi besar telah berada di Kelantan menyertai program masuk U. Malahan beliau masih sempat bermain air bah kerana air belum besar. Selepas beliau sampai di Bangi pada 21 Disember kisah banjir menjadi tajuk utama di media perdana dan media sosial. 

Banyak paparan gambar dan kisah mesej 'WhatsApp' tertera di sana sini. Gambar kebanjiran air bah menyayat hati. Ramai yang gagal menghubungi keluarga selepas itu. Ketika UKM mengadakan Program Membersihkan Taman Tasik Cempaka Bandar Baru Bangi satu tabung telah dilancarkan. Seminggu selepas itu semua masjid di negara kita mengadakan Solat Hajat selepas Solat Jumaat.

Saya tabik dengan rakyat Kelantan yang berada diperantauan. Mereka menggerakkan bantuan cukup cepat. Malahan beberapa masjid, surau dan NGO telah ke Kelantan ketika air bah masih tinggi. Pengarah Pusat Islam UKM dikatakan terperangkap dalam banjir di kampung beliau. Malahan anak saudara saya telah ke Kelantan ketika air masih belum disedut oleh bumi.

Ketika dalam perjalanan ke Tumpat, Haji Abd Razak Hussin Ketua misi kami melahirkan perasaan pesonanya dengan kebiruan langit di sekitar Kuala Lumpur hingga ke Pahang. Langit cukup biru. Saya berkata kepada ahli rombongan ketika dalam kenderaan "Allah telah memakbulkan doa hambanya ketika Solat Hajat Jumaat sebelum itu". Ya, jangan perkecilkan doa kita. Kita mampu berdoa. Allah telah menunaikan hajat hambanya. Allah telah menyedut air yang diturunkan. Lihatlah bumi Allah di semua tempat banjir telah tiada. ke mana kalau bukan kerja Allah?
TNB berkerja keras memulihkan
bekalan letrik di tempat yang dilanda banjir.

Saya tidak terkilan merakam kedaan banjir. Memanglah siapa yang tidak suka kalau dapat merakam gambar orang mengharung banjir separas dada? Siapa yang tidak suka kalau dapat merakam gambar ibu tua didukung ketika banjir besar. Gambar yang berharga. Namun tahukah kita ketika itu nyawa lebih berharga. 

Melihat paras air yang tinggi melepasi paras tiang letrik mana mungkin kita menempuh paras itu. Bayangkan lah kalau bot penyelamat mengharungi kawasan yang penuh dengan tiang letrik dan pokok. Oh agak merbahaya!

Melihat kesan banjir dengan rumah-rumah hancur saya fikir ianya lebih mengharukan.

Banjir meninggalkan tanah di halaman rumah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan