Melihat Kuasa Allah | Sebuah catatan seorang Jurufoto

Kelantan bukan tanah tumpah darah saya. Saya tidak mempunyai darah daging di sana. Namun hati saya membuak-buak ingin membantu ketika berita mengatakan Kelantan banjir besar. Ketika bersolat hajat di UK Perdana pada 26 Disember 2014 selepas solat Jumaat, saya gagal menahan air mata sedangkan waktu itu hujan mencurah-curah di luar masjid. Manakala bumi Kelantan sedang dipenuhi dengan air bah. Langit sekitar Kuala Lumpur hingga ke Bangi gelap. Hujan turun 24 jam. Tahukah kita bahawa waktu itu penduduk yang terlibat sedang membawa anak-anak, isteri, ibu mereka ke tempat lebih selamat.
Saya tidak tahu di mana Manik Urai, saya tidak tahu bagaimana Tumpat, saya tidak dapat gambarkan bagaimana Kuala Krai, Gua Musang dan Jeli. Tapi saya dapat menggambarkan air bah sedang mengganas.
31 Disember 2014 saya mengambil keputusan mengikuti misi bantuan banjir anjuran UKM. Saya korbankan cuti. Saya menaiki kenderaan 4x4 bersama pasukan peninjau ke Tumpat Kelantan. Saya bercuti ke Kelantan. 31 Disember juga adalah hari lahir puteri bongsu. Saya hanya mampu menghantar mesej ringkas kepada anak bongsu itu.
1 Januari 2015 saya menyambut tahun baru di suasana yang menyayat hati. Saya melihat ibu menagih beras dari lori bantuan kemanusian UKM. Bapa meminta air bersih dari petugas kami. Sedangkan saya menghantar hadiah hari jadi isteri pada tarikh itu dengan sebuah kewajipan membantu mangsa banjir. Dua hari jadi anak dan isteri ketika melihat jiwa ibu dan ayah kehancuran perasaan dilanda banjir! Allah menguji mereka dan saya.....
Pagi 3 Januari 2015 saya tiba di Bangi dari Kelantan dan bersarapan pagi dengan nasi goreng sedangkan masih teringat keluhan seorang ayah dalam loghat Kelantan " Ni tengah dok fikir macam mana nak hidup...nak makan...nak sekolahkan anak yang masuk tingkatan 2 tahun ini....."

Saya sambung catatan ini hari ini...namun anda fikir-fikirkanlah apa yang mahu anda sumbang di surau, masjid dan lain-lain tempat agar mangsa-mangsa banjir akan terubat jiwa yang remuk.....

#Pesanan saya sediakan tisu jika ingin membaca catatan ini dan menatap gambar-gambar saya.....

CATATAN INI MERUPAKAN PANDANGAN PERIBADI DAN TIADA BERKAITAN DENGAN ORGANISASI KERJAYA SAYA

Selasa, 6 Januari 2015

Petikan dari Portal Berita UKM

Bantuan Bencana Banjir Kepada Dua Sekolah Yang Menyumbang Kepada Penubuhan UKM
Selasa, 06 Januari 2015 15:29

Cetak PDF

Oleh Abd Raai Osman
Foto Abd Raai Osman
TUMPAT, KELANTAN, 1 Januari 2015 - Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) hari ini telah menyampaikan sumbangan banjir kepada Sekolah Menengah Kebangsaan Tumpat dan Sekolah Kebangsaan Tumpat dalam majlis ringkas tetapi amat menyentuh perasaan di sini hari ini.
Kedua-dua sekolah itu melakar sejarah sendiri apabila pernah menderma wang ketika kempen penubuhan UKM sekitar akhir tahun 1960an dahulu.
Ketika awal penubuhan UKM, SMK Tumpat telah menderma sebanyak RM5.50 dan SK Tumpat sebanyak RM3.50 .
Bantuan itu telah disampaikan kepada Pengetua SMK Tumpat Haji Wan Ali bin Mamat, seorang graduan UKM dalam bidang Fizik Gunaan pada tahun 1983 dan Guru Besar SK Tumpat Haji Mohd Samsudin bin Yusoff.
Ia dihadiri oleh Pegawai Pendidikan Daerah Tumpat, Khairuddin Mohamed, Timbalan Pendaftar UKM Haji Abd Razak Hussin dan Setiausaha kehormat Bulan Sabit Merah UKM Haji Zainuddin Daud bersama 20 orang petugas misi banjir UKM.
Petugas UKM juga telah mengunjungi rumah-rumah guru yang mengalami bencana banjir dan menyampaikan sumbangan dari tabung zakat UKM.
Abd Razak yang juga Ketua Petugas Misi Bantuan Banjir UKM berkata jumlah sumbangan kedua-dua sekolah itu mungkin kecil mengikut nilai sekarang namun ia menjadi pencetus semangat kepada pengurusan UKM ke arah memberi pendidikan yang  cemerlang.
Abd Razak berkata masyarakat Tumpat sejak itu telah dekat di hati warga UKM justeru bencana banjir telah membawa warga UKM menemui masyarakat Tumpat dalam usaha membantu mereka.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan