Melihat Kuasa Allah | Sebuah catatan seorang Jurufoto

Kelantan bukan tanah tumpah darah saya. Saya tidak mempunyai darah daging di sana. Namun hati saya membuak-buak ingin membantu ketika berita mengatakan Kelantan banjir besar. Ketika bersolat hajat di UK Perdana pada 26 Disember 2014 selepas solat Jumaat, saya gagal menahan air mata sedangkan waktu itu hujan mencurah-curah di luar masjid. Manakala bumi Kelantan sedang dipenuhi dengan air bah. Langit sekitar Kuala Lumpur hingga ke Bangi gelap. Hujan turun 24 jam. Tahukah kita bahawa waktu itu penduduk yang terlibat sedang membawa anak-anak, isteri, ibu mereka ke tempat lebih selamat.
Saya tidak tahu di mana Manik Urai, saya tidak tahu bagaimana Tumpat, saya tidak dapat gambarkan bagaimana Kuala Krai, Gua Musang dan Jeli. Tapi saya dapat menggambarkan air bah sedang mengganas.
31 Disember 2014 saya mengambil keputusan mengikuti misi bantuan banjir anjuran UKM. Saya korbankan cuti. Saya menaiki kenderaan 4x4 bersama pasukan peninjau ke Tumpat Kelantan. Saya bercuti ke Kelantan. 31 Disember juga adalah hari lahir puteri bongsu. Saya hanya mampu menghantar mesej ringkas kepada anak bongsu itu.
1 Januari 2015 saya menyambut tahun baru di suasana yang menyayat hati. Saya melihat ibu menagih beras dari lori bantuan kemanusian UKM. Bapa meminta air bersih dari petugas kami. Sedangkan saya menghantar hadiah hari jadi isteri pada tarikh itu dengan sebuah kewajipan membantu mangsa banjir. Dua hari jadi anak dan isteri ketika melihat jiwa ibu dan ayah kehancuran perasaan dilanda banjir! Allah menguji mereka dan saya.....
Pagi 3 Januari 2015 saya tiba di Bangi dari Kelantan dan bersarapan pagi dengan nasi goreng sedangkan masih teringat keluhan seorang ayah dalam loghat Kelantan " Ni tengah dok fikir macam mana nak hidup...nak makan...nak sekolahkan anak yang masuk tingkatan 2 tahun ini....."

Saya sambung catatan ini hari ini...namun anda fikir-fikirkanlah apa yang mahu anda sumbang di surau, masjid dan lain-lain tempat agar mangsa-mangsa banjir akan terubat jiwa yang remuk.....

#Pesanan saya sediakan tisu jika ingin membaca catatan ini dan menatap gambar-gambar saya.....

CATATAN INI MERUPAKAN PANDANGAN PERIBADI DAN TIADA BERKAITAN DENGAN ORGANISASI KERJAYA SAYA

Rabu, 14 Januari 2015

Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul

11 Januari 2015 |

UKM: Pendaulat Amanah Negara.

En Sufian menyambut rombongan Naib Canselor UKM dengan perasaan gembira dengan menampakkan wajah terharunya. Halaman rumahnya masih dipenuhi air bah. Beliau bersalaman dan memeluk Datuk Profesor Dr Noor Azlan Ghazali begitu mesra. Begitu juga dengan lain-lain pegawai UKM yang mengiringi Naib Canselor.
En Sufian (kanan)  menyambut kehadiran
Prof Datuk Dr Noor Azlan
Kampung Pulau Manis, Pekan Pahang masih digenangi air bah di beberapa tempat. Namun tidaklah menyeluruh. Sungai Pahang yang terletak di sebelah kanan jalan dan paya masih dilimpahi air. Kampung Pulau Manis merupakan kampong angkat UKM sejak mengalami banjir besar pada tahun 2006 dan 2007. Misi bantuan banjir sering kali ke sini selepas kampong ini mengalami banjir. Bezanya keadaan banjir hanya tinggi atau tidak sahaja.

Menceritakan keadaan penduduk ketika banjir amat menggerunkan. Mereka diselamatkan oleh pasukan Bomba dan Penyelamat dengan menaiki bot menyusuri sungai Pahang ketika air sedang tinggi dan berarus deras. Sekiranya berlaku kemalangan, pastinya akan menjadi insiden yang menyayat hati, jelas En Supian.

Sekolah Kebangsaan Pulau Manis masih belum boleh dimasuki oleh kenderaan ringan. Air masih di paras lutut. Padang sekolah masih berlumpur. Di belakang sekolah Sungai Pahang jaraknya cuma seratus meter. Kelihatan air sungai masih deras dan tinggi.

Prof. Noor Azlan mengharapkan ada sesuatu program yang boleh diadakan kepada penduduk dan anak-anak muda di kampung ini selepas banjir sudah pulih.

Sekolah Kebangsaan Pulau Manis
Selepas melawat Kampung Pulau Manis, Pekan kami ke Kampung Pulau Tawar, Jerantut. di sini seramai 120 orang pelajar kolej kediaman Keris Mas dan Kolej Rahim Kajai telah menyertai gotong royong membersih Sekolah Menengah Kebangsaan Pulau Tawar dan Sekolah Agama Pulau Tawar. Seperti di mana-mana kawasan bencana banjir, kedua-dua sekolah ini dilanda banjir begitu teruk.

Selain sukarelawan dari UKM, terdapat sebuah syarikat yang membawa pasukan sukarelawannya membersih SMK Pulau Tawar. Syarikat ini telah membawa jenteranya seperti traktor, jenerator penyedut air untuk memudahkan kerja-kerja pembersihan. Keadaan lumpur masih tebal, kesan banjir kelihatan di merata kawasan sekolah. Menurut Pengetua SMK Pulau Tawar, sekolah akan dibuka pada hari Isnin esok hari.

Sukarewalan UKM di SMK Pulau Tawar, Jerantut.
Petang itu rombongan Naib Canselor UKM bergerak pulang ke Bangi dengan dua buah kereta pacuan empat roda mengiringi kereta rasmi beliau. Hujan sederhana turun ketika kami meninggalkan Kampung Pulau Tawar. Kelihatan Sungai Pahang mengalir seperti lesu di sebelah kiri. Penduduk kampong kelihatan masih mengemas rumah yang saya pasti entah bila akan ada kesudahannya. Tiga buah bas UKM membawa pelajar-pelajar pulang ke Bangi kerana mereka ada tugas sebagai pelajar.

14 Januari 2015: Malam tadi siaran TV menyiarkan berita Pahang kembali banjir, Bangi cuaca cerah. Kita seperti melupai banjir di Pantai Timur. Sedangkan kesan banjir kuning masih kelihatan di sana sini. Seorang Ustaz memohon bantuan untuk mengemas pakaian terpakai di Masjid UKM.

Kehidupan kita teruskan doa dan harapan kita teruskan jua disamping menghulur bantuan sekadar termampu.

Pengetuan SMK Pulau Tawar menerima sumbangan daripada Naib Canselor UKM.

Tiada ulasan:

Catat Komen