Melihat Kuasa Allah | Sebuah catatan seorang Jurufoto

Kelantan bukan tanah tumpah darah saya. Saya tidak mempunyai darah daging di sana. Namun hati saya membuak-buak ingin membantu ketika berita mengatakan Kelantan banjir besar. Ketika bersolat hajat di UK Perdana pada 26 Disember 2014 selepas solat Jumaat, saya gagal menahan air mata sedangkan waktu itu hujan mencurah-curah di luar masjid. Manakala bumi Kelantan sedang dipenuhi dengan air bah. Langit sekitar Kuala Lumpur hingga ke Bangi gelap. Hujan turun 24 jam. Tahukah kita bahawa waktu itu penduduk yang terlibat sedang membawa anak-anak, isteri, ibu mereka ke tempat lebih selamat.
Saya tidak tahu di mana Manik Urai, saya tidak tahu bagaimana Tumpat, saya tidak dapat gambarkan bagaimana Kuala Krai, Gua Musang dan Jeli. Tapi saya dapat menggambarkan air bah sedang mengganas.
31 Disember 2014 saya mengambil keputusan mengikuti misi bantuan banjir anjuran UKM. Saya korbankan cuti. Saya menaiki kenderaan 4x4 bersama pasukan peninjau ke Tumpat Kelantan. Saya bercuti ke Kelantan. 31 Disember juga adalah hari lahir puteri bongsu. Saya hanya mampu menghantar mesej ringkas kepada anak bongsu itu.
1 Januari 2015 saya menyambut tahun baru di suasana yang menyayat hati. Saya melihat ibu menagih beras dari lori bantuan kemanusian UKM. Bapa meminta air bersih dari petugas kami. Sedangkan saya menghantar hadiah hari jadi isteri pada tarikh itu dengan sebuah kewajipan membantu mangsa banjir. Dua hari jadi anak dan isteri ketika melihat jiwa ibu dan ayah kehancuran perasaan dilanda banjir! Allah menguji mereka dan saya.....
Pagi 3 Januari 2015 saya tiba di Bangi dari Kelantan dan bersarapan pagi dengan nasi goreng sedangkan masih teringat keluhan seorang ayah dalam loghat Kelantan " Ni tengah dok fikir macam mana nak hidup...nak makan...nak sekolahkan anak yang masuk tingkatan 2 tahun ini....."

Saya sambung catatan ini hari ini...namun anda fikir-fikirkanlah apa yang mahu anda sumbang di surau, masjid dan lain-lain tempat agar mangsa-mangsa banjir akan terubat jiwa yang remuk.....

#Pesanan saya sediakan tisu jika ingin membaca catatan ini dan menatap gambar-gambar saya.....

CATATAN INI MERUPAKAN PANDANGAN PERIBADI DAN TIADA BERKAITAN DENGAN ORGANISASI KERJAYA SAYA

Ahad, 4 Januari 2015

Mata merakam, telinga mendengar.

Jurufoto orang seni. Antara melihat dan mendengar kadang kala memberikan lenangan air mata. Namun sebagai sukarelawan harus menahan perasaan kerana kita boleh diibaratkan sebagai kaunselor yang melihat dan mendengar masalah orang lain yang dalam kesusahan. Saya catatkan beberapa memori di sini kadang kala membawa dalam ingauan mimpi dan terdengar ketika mahu menjamah makanan yang lazat, ketika mahu beradu di bantal empok.

Walaupun OKU tetapi Dia masih ada perasaan. Kita bagaimana?
  1. Bang kat lori ada air ke? | Saya jawab cuba pergi ambil kat lori tu.... | Bayangkan air bersih amat diperlukan.
  2. Emmmm dah dapat baju ni kena gi cari beras pula lah.....| Dia nak beras kerana perlu makan nasi
  3. Bang Touchlight ada tak? | Oh....anak muda ini perlukan Touchlight. Kalau nak sedekah mesti bersama bateri ya...
  4. Nak sate...| Gurau anak kecil yang saya anggap serius kerana mereka inginkan yang yang lazat setelah lama menderita selera. Walaupun mereka tahu kami bukan bawa Sate!!
  5. Saya dah redha dengan apa yang berlaku.....Tapi tengoklah habis buku sekolah rosak | Kata seorang guru.
  6. bantu-bantu, angkat-angkat, nak bagi demo (dia orang) makan, angkat | Kata seorang lelaki kelainan upaya ketika mengangkat kotak-kotak air mineral. Bayangkan dia kurang upaya masih ada nilai kemanusiaan...
  7. Kami nak rumah, bukan makanan | Oh....kata seorang lelaki di sebuah kedai makan di Pengkalan Kubor.
  8. Ni dok menong bukan apa...dok mikir masa depan, rumah dah hancur. Tak ada bantal, tilam. Anok nak sekolah pula tu | Anak perempuan di sebelahnya memandang saya dengan renungan pilu. Dia kata akan masuk tingkatan 2 tahun 2015. Ketika itu hari kian gelap di Kampung Laloh....
Air Mineral dan Air Teh


Banyak kita mendengar. Banyak yang kita dengar mencuit hati. banyak yang kita lihat memilukan. Ayuh bantulah walaupun hanya seringgit. Kalau sejuta orang pastinya RM1 jutakan? Hantar kepada badan-badan yang bertauliah. Kerana ramai yang sedang menjadi penjenayah untuk jadi kaya ketika orang lain sedang dilanda musibah...


Mencari keperluan dari NGO yang masuk ke kampung mereka. Kasihanilah mereka!!!

Tiada ulasan:

Catat Komen